JUN 2021

ADUN Kekal Sehingga DUN Sarawak Dibubar


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan akan dikekalkan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada satu tarikh yang sesuai.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ia berikutan

pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos depan sekali gus menyebabkan peruntukan-peruntukan pembubaran DUN turut digantung.

"Justeru, pelantikan ADUN tidak akan tamat pada 6 Jun dan akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 15 atau selepas 1 Ogos iaitu tarikh tamatnya darurat di negara ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Asfia menambah, sekiranya perintah darurat tidak disambung, Pilihan Raya Negeri (PRN) hendaklah diadakan selaras dengan Perkara/Artikel 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat.

Sehubungan itu katanya, beliau telah menghantar notis melalui emel kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memaklumkan tempoh hayat DUN Sarawak dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat.

"PRN akan diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud," tambahnya.

Menerusi perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun iaitu hari ini, genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.

Bagaimanapun, peruntukan di bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan, susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 di seluruh negara.

Sumber dari : Jiwa Bakti